Sunday, February 17, 2008

Pilihanraya Umum Ke-12

Hari penamaan calon pilihanraya umum ke-12 ditetapkan pada 24 Februari manakala pengundian akan diadakan pada 8 Mac depan.Tarikh tersebut diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pagi ini.Ini bermakna, tempoh berkempen kali ini dilanjutkan kepada 13 hari berbanding hanya lapan hari dalam pilihanraya umum 2004.

Bercakap dalam satu sidang akhbar, beliau berkata, senarai pendaftar pemilih induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari lalu, akan digunapakai dalam pilihanraya umum ke-12.



Berdasarkan senarai tersebut, katanya, terdapat 10,922,139 pengundi - iaitu 10,701,054 pengundi awam dan 221,085 pengundi pos - yang layak mengundi dalam pilihanraya umum kali ini.

Menurut Abdul Rashid, SPR telah diumumkan secara rasmi oleh Istana Negara semalam bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan membubarkan Parlimen berkuatkkuasa 13 Februari 2008.

Di samping itu, katanya, SPR juga menerima pengisytiharan dari 12 negeri, tidak termasuk Sarawak, mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh sultan dan Yang Dipertua negeri masing-masing.

Abdul Rashid berkata, writ pilihanraya akan dikeluarkan esok kepada semua pegawai pengurus pilihanraya yang telah dilantik untuk mengendalikan proses pilihanraya di seluruh negara.
Jumlah kerusi

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertanding dalam pilihanraya umum kali ini.

Ini tidak termasuk 71 kerusi DUN di Sarawak yang tidak dipertandingkan kali ini.

Secara terperincinya, Perlis mempunyai tiga kerusi Parlimen dan 15 DUN, Kedah (15 Parlimen, 36 DUN), Kelantan (14 Parlimen, 45 DUN), Terengganu (8 Parlimen, 32 DUN), Pulau Pinang (13 Parlimen, 40 DUN), Perak (24 Parlimen, 59 DUN), Pahang (14 Parlimen, 42 DUN).

Selangor (22 Parlimen, 56 DUN), Negeri Sembilan (8 Parlimen, 36 DUN), Melaka (6 Parlimen, 28 DUN), Johor (26 Parlimen, 56 DUN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 Parlimen), Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 Parlimen) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1 Parlimen), Sabah 25 Parlimen, 60 DUN) dan Sarawak (31 Parlimen, 71 DUN).

Ini bermakna 166 kerusi Parlimen dan 445 kerusi DUN akan dipertandingkan di Semenanjung Malaysia manakala bakinya 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak serta 60 kerusi DUN di Sabah.

Dalam pilihanraya umum 2004, bagi kerusi Parlimen, Barisan Nasional (BN) memenangi 199 kerusi, DAP (12), PAS (6), PKR (1) dan Bebas (1).

Dipetik daripada 《malaysiakini》www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment