Thursday, October 8, 2009

Pro-M bantah e-undi di UUM

Sintok 6 Okt 05:45a.m – Pengerusi kumpulan pro-mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) merancang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Naib Canselornya Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid berhubung bantahan pelaksanaan kaedah sistem pengundian secara berkomputer.

Kumpulan yang bertentangan dengan pro-Aspirasi itu diwakili oleh pengerusinya Tengku Hasrul Tengku Malek bersama seorang aktivis pelajar kampus itu Chang Kok Wei. 

Satu sumber pemimpin pelajar UUM, yang enggan dikenali, memberitahu Malaysiakini hari ini, pertemuan di pejabat Dr Ahmad Faiz dijadual Rabu ini – sehari sebelum penamaan calon – untuk membincangkan isu tersebut.


Pertemuan tersebut susulan surat bantahan kumpulan pro-mahasiswa, atau dikenali juga Pro-M, kepada TNC itu bertarikh 15 September seperti dimuatkan di blog rasmi mereka, tambah sumber itu.

“Kebarangkalian untuk membatalkan pengundian berkomputer mungkin agak sukar, tapi tunggulah keputusannya 7 Oktober ini,” katanya.

Sumber itu berkata, inilah julung-julung kali universiti tersebut menjalankan pengundian secara elektronik, yang juga dikenali e-undi, pada pilihan raya kampus itu.

Berdasarkan blog tersebut (promuniutama.blogspot.com), pro-mahasiswa turut melancarkan petisyen secara dalam talian untuk membantah pelaksanaan e-undi sejak penghujung bulan lalu.

Pro-mahasiswa UUM merancang meletakkan lapan calon bagi merebut 35 kerusi yang dipertandingkan, iaitu 11 kerusi umum dan 24 kerusi kolej akademik.

Bagaimanapun kumpulan itu hanya bertanding bagi merebut kerusi umum sahaja dan tidak berhasrat meletakkan calonnya di kerusi kolej akademik kerana tidak cukup calon.

Pro-M yang selalunya lebih kritikal terhadap kerajaan dan pentadbiran kampus cuba memberikan saingan terhadap kumpulan pro-Aspirasi yang menyokong dasar-dasar kerajaan.

Percubaan itu bagaimanapun gagal.

No comments:

Post a Comment