Thursday, October 8, 2009

Siswa UM bantah, e-undi langgar AUKU

Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) membantah kaedah baru sistem pengundian berkomputer dengan alasan ia tidak menjamin kerahsiaan dan oleh itu bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Kaedah yang bakal diperkenalkan pada pilihan raya kampus itu bagi pemilihan sesi baru barisan pemimpin MPMUM dianggap bercanggah dengan Seksyen 48(2)(a) akta tersebut yang menyebut para pelajar "hendaklah memilih melalui undi rahsia" pemimpin mereka.



"Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah secara terang-terangan mencabul undang-undang AUKU dengan membelakangkan prinsip 'undi rahsia' apabila melaksanakan sistem (e-undi) ini.

"MPMUM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada timbalan naib canselor HEPA serta mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," kata badan induk pelajar itu.

Exco kerohanian badan itu Mohd Aizat Mohd Salleh berkata, MPMUM telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Naib Canselor HEPA Profesor Datuk Dr Azarae Idris berhubung isu tersebut pada 15 September lalu.

Turut serta, beberapa pegawai teknikal di Pusat Teknologi Maklumat (PTM) yang terlibat membangunkan sistem e-undi.

Dalam satu kenyataan MPMUM kepada Malaysiakini, dalam perjumpaan tersebut, majlis pelajar itu mempersoalkan ketelusan penjalanan undian apabila menggunakan kaedah e-undi.

Menurut Mohd Aizat, isu-isu yang berbangkit dalam pertemuan tersebut termasuklah:

Sistem e-undi dikendalikan oleh beberapa pegawai yang akan dilantik oleh pihak HEPA dan memegang kata laluan kepada sistem e-undi.

Sejauh manakah pegawai-pegawai ini benar-benar akan menjaga kerahsiaan data setelah pilihan raya kampus sebelum ini, secara manual, mempunyai kepincangannya sewaktu pengiraan undi?

Dalam sistem ini, pengundi dibekalkan dengan nombor PIN yang akan digunakan untuk mengakses atau log masuk ke dalam skrin pembuangan undi.

MPMUM berpendirian bahawa tidak ada lagi istilah 'undi itu rahsia' apabila setiap pengundi memiliki nombor PIN dan pihak pengendali sistem ini iaitu PTM dan HEPA akan mengetahui siapakah calon yang akan diundi oleh pengundi-pengundi berdasarkan nombor PIN yang didaftar dan diberikan.

Pengundi tidak mengetahui kepada siapa (calon) undi mereka akan disalurkan kerana tidak ada papan terbitan yang memaparkan pertambahan undi kepada calon yang dipilih.

Sepanjang pertemuan tersebut, HEPA gagal menjelaskan banyak persoalan yang diajukan oleh pihak MPMUM.

Selain UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memperkenalkan e-undi pada pilihan raya kampus sesi ini, tidak lama lagi.

Kaedah mengundi secara elektronik mula diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - juga dalam suasana penuh bantahan.

Selain menerima bantahan bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut, 2005 dan 2006.


http://www.malaysiakini.com/news/114376

No comments:

Post a Comment